Perginya “Mama” Ke Negeri Abadi Meninggalkan Kami Terkesan Di Hati | Tatkala Cikza ingin berkongsi, air mata berjurai-jurai sambil menatap gambar mama di telefon pintar. Kata orang setiap hari kita akan melihat kematian. Tetapi tidak pula menyangka yang diri sendiri yang akan melihat pemergian mama ke negeri abadi. Kata orang hilanglah satu doa mustajab seorang ibu untuk anak-anak dan keluarganya.
Berat untuk menerima, pemergian ibu sendiri. Perkongsian harini, bukan untuk Cikza nak meraih simpati, tapi untuk berkongsi sendiri pengalaman dan hari-hari terakhir mama bersama kami sekeluarga. Pada awalnya seingat Cikza dalam bulan 3 dalam tahun ni juga tempohari, mama dan abah datang Kuala Lumpur sebab dapat panggilan yang Cikza terpaksa dimasukkan ke wad kerana SLE aktif. Dalam masa sama memang Cikza perasan mama mula batuk sedikit-sedikit sahaja. Mama seperti biasa jaga makan minum kami sekeluarga cuma tahun ni berbeza, setiap kali masuk berborak dalam group famili, pasti tak lari ayat menyebut hal kematian dan amalan di dunia. Ya! mama suka berkongsi perihal amalan kehidupan dunia dan akhirat.
Selepas Cikza, Mama Pula Menyusul Menahan Kesakitan
Mama tak sihat, bermula pada bulan 6, semput beliau semakin teruk, tapi pada awal diagnose semput biasa sahaja. dan secara kebetulan, mama merupakan bekas Ketua Jururawat di Klinik Kerajaan. Jadi pemantauan ubat secara kendiri itu dilakukan sendiri oleh beliau. Seperti hari-hari lain, kalau korang nak tahu, mama Cikza ni sentiasa catat dalam buku nota perihal cara-cara nak bagi kurangkan paras gula, penjagaan jantung dan macam-macam lagi.
Sejarah penyakit mama adalah, beliau merupakan pesakit buah pinggang stage 4, Darah tinggi, Kencing manis, Asthma paru-paru, Lemah Jantung dan Athritis. Kalau korang nak tahu, Cikza ada sedikit sebanyak mewarisi beberapa penyakit seperti asthma, dan athritis. yang melibatkan sendi. Berbalik pada kisah mama, ada beberapa ayat yang kami dah mula rasa lain termasuk tingkah lakunya. Tahun ni, di mula menunjukkan keganjilan, bila setiap hari kelahiran, abah , Cikza dan ulangtahun perkahwinan dia betul-betul teruja nak buat persiapan dan beli makan besar-besaran bersama keluarga. Dia ajak cousin-cosin Cikza yang berhampiran dengan rumah dan jamu mereka.
Kelainan Pada Tingkah Laku Mama Sebelum Beliau Pergi
Lepastu, perkara pelik no 2, ketika anyam ketupat, dia buat pertandingan sendiri dengan abah, tapi macam biasa abah selalunya akan give-up awal. dia berdekah ketawakan abah. Dan die suruh kami pula yang menganyam. Jujurlah memang kami dua beradik tak reti nak menganyam ketupat. Nak tahu ayat hirisan dia bagi…
” Nanti, bila mama dah tiada tahun depan, merangkak korang dua beradik bawa daun ketupat kejut mama dekat kubur..”
Adik aku berdekah ketawa, sebab dia ingat lawak, gigih tau belajar buat ketupat tapi lebur jadinya. Waktu tu memang nmpak mama gagahkan diri nak buat persiapan raya tau. Perkara pelik seterusnya no 4, Cikza bawa dia pergi beli daging untuk buat rendang, tiba-tiba dia cakap,
“Nurul, kalau tahun depan mama tiada nanti, jangan bagi abah kahwin lain tau, nanti semua barang-barang dalam rumah tu bini baru dia ambil, kaut semua, barang tu semua untuk kau dengan adik, kongsi-kongsi. Jaga abah depan mata, jangan biar abah sorang-sorang… ”
Cikza pelik tapi berkata janji akan jaga abah. Cuma ayat dia deep sangat macam ada sesuatu yang dia pendam. Tapi sebagai anak layankan aja. Kesakitan beliau terserlah bila, masa astma teruk sampai terpaksa dimasukkan ke Institut Jantung Negara. Dari situ, doktor cuba diagnose mencari punca penyakit, dalam masa sama beliau terpaksa mula mengambil ubat TIBI walaupun beliau tiada penyakit tu. Azab nak suruh dia makan ubat sampai melalut-lalut di buatnya. Kami sekeluarga sabar menjaga beliau dengan pelbagai kerenah, dan sehingga juga beliau berkerusi roda. Perkara pelik no 5, selepas discaj kedua dari IJN, beliau tiba-tiba minta hati goreng kunyit, beliau yang sebelum ni tiada selera makan, tapi hari yang dia dapat tu, banyak sangat dia makan sampai licin.
Perkara pelik no 6, beliau minta dibawa pulang ke kampung dengan alasan ingin berjumpa adik beradiknya terutama ibunya di kampung. Tidak sampai hati, kami tunaikan permintaannya. Sebab abah kata mungkin ini adalah tahun terakhirnya, abah rupanya dapat rasa apa yang Cikza rasa. Begitu seronok dapat berjumpa dengan semua adik beradiknya sebelum nak mulakan rawatan pertamakhabarnya di Institut Kanser Negara. Hari sepatutnya beliau perlu pulang ke Kuala Lumpur untuk rawatan, malam tu oksigen beliau tinggal 84% dan dimasukkan terus ke Hospital Muar. Walaupun kami tahu, mama sangat tak suka masuk disitu tapi untuk kebaikkan.
Hari yang beliau telah di pindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk dapatkan rawatan kanser paru-paru di situ, malam tu dia susah nak lepaskan tangan Cikza, gengam dia tu kuat, malam tu kami berborak panjang, bayangkan tiba-tiba dia terus menjadi seperti orang sihat. Melihat suamiku dia tersenyum dan komplen kenapa dia botak. hahaha! tersenyum bila diingatkan.
“Terima kasih nurul, bawa mama ke Kuala Lumpur, mama selesa kat sini, dekat sini mama mula bekerja, dan dekat sini, mama lahirkan kau dengan adik. Mama dah ampunkan dosa-dosa nurul adik dan semua, dan halalkan susu yang mama beri, mama minta jaga abah, jangan biarkan abah sorang-sorang, jaga adik dia satu-satunya orang yang akan ada dengan kau bila suami kau tiada nanti atau abah, jaga sesama masing-masing abah, adik dan aiman. Ingat nurul, rambut manusia sama hitam tapi kita tak tahu hatinya, jadi berhati-hati dengan sekeliling. Mama tahu kau sakit, tapi jaga diri makan ubat, kalau tidak akan jadi macam mama. Untuk esok tak perlu bawa apa-apa cuma perlu bawa tudung,selipar dan tasbih digital mama, segala makanan tak perlu. Tapi bawa sekali telefon mama, kau pegangkan…”
Malam tu rasa nak duduk sekali dengan mama, tapi nurse tak bagi, lampu ditutup tapi Cikza gengam erat tangan mama dan mama seakan taknak lepaskan gengaman tangan tu. Aku peluk dan cium sepuasnya, rindu beliau yang sihat. Bila Cikza balik rumah, memang malam tu rasa gelisah. rasa malam ni ada kelainan sedikit. tak macam selalu. pelbagai kerja dibuat untuk lelapkan mata tapi juga tidak boleh. Lepas solat sunat, terus cuba untuk lelap, akhirnya boleh. Tiba-tiba jam 3.30 pagi telefon berdering, pada awal mungkin doktor ingin mengetahui sejarah penyakit mama, sebab dia bertanya. pelbagai soalan, dan akhirnya terjawab yang Bidadari tersayang saya telah pergi secara mengejut dalam keadaan tidur jantung terhenti pada waktu dia selalu lakukan solat tahajud. Allahu malam tu juga adalah bersamaan hari kelahiran Rasullullah S.A.W.
Mama tinggalkan pelbagai amalan dan khasiat pelbagai potongan ayat Al-Quran yang tidak ada sesiapapun pernah lakukan, sehinggakan sewaktu dia meninggal mukanya berseri-seri, dan ketika dimandikan ramai yang bertanya, ringan dan sangat mudah untuk uruskan jenazah beliau. mukanya seakan tersenyum. kulit tegang putih berseri-seri macam dia selalu tertidur. Rindunya Cikza nak melihat mama buka mata dan panggilan mama sentiasa. Allahu, sewaktu nak di kafankan amat mudah dan tersenyum seperti sedang bermimpi. Sewaktu di bawa ke kubur pun setelah selesai, bau harum seakan minyak wangi mekah, allahuu subhanallah.
Kenangan Bersama Mama Sukar Untuk Di Lupakan
Kenangan dengan mama banyak, sejak dari kecil, mama selalu bawa kami mengenal dunia luar, tiada tempat yang tidak kami tak pernah pergi, semuanya mama dah bawa termasuk zoo negara dan sebagainya. Setiap hujung minggu adalah hari bersama keluarga, kami keluar sarapan sama-sama, pergi pasar sama-sama dan mama tak pernah lupa setiap bulan akan membeli baju untuk kami. Aku ingat lagi sewaktu mama pergi kursus jururawat, setiap kali hujung minggu mama bawa buku mewarna sebagai hadiah, itulah hari-hari yang ditunggu-tungu. Sehingga harini tak terkata kenangan tu macam-macam kami kongsi minat memasak sama-sama. Tapi kalau dia bergabung dengan adik pasti kebabom mengata Cikza secara gurauan. Tapi itu semua kenangan kekal dalam hati dan ingatan.
” Mama ajar kami, pelbagai pengalaman dan benda-benda baru dalam kehidupan, tapi satu sahaja, mama lupa nak ajar bagaimana erti kehilangan dan cara nak hidup tanpa beliau disisi nanti setelah ketiadaannya..”
Kini mama selamat di negeri abadi, bersama dua orang anak syurga Cikza. Mama mungkin doakan kami sekeluarga dari syurga, semoga mama bahagia di negeri abadi hendaknya. Tiada lagi, jeritan batinku setiap pagi, tiada lagi bebelan radio capok, tiada lagi ketawa berdekah-dekah, tiada lagi gurauan manja, tiada lagi sebutan “MAMA” yang sentiasa tidak lekang panggilan itu. Tiada lagi latte for mama. Terima kasih atas kasih sayang, rasa cinta mama pada kami semua. tiada siapa boleh ganti mama dalam hati kami
Innalillah. Setiap yang hidup pasti akan merasa mati. Percayalah perpisahan ini hanya sementara, tunggu masa untuk jumpa di “sana”.
Boss recently posted…Ada Tak Bisnes Tanpa Modal?
Terima kasih atas perkongsian dan kata-kata semangat ya. aminnn