Kuah kacang memang sinonim di makan bersama nasi impit. Tapi yang pasti kuah kacang adalah juadah paling popular di pagi raya, tiba-tiba mengidam nak makan kuah kacang pulak, tempohari Cikza sendiri dah kesempatan merasa kuah kacang tika raya pertama. Kuah kacang ni adalah kegemaran famili terutama mama dan adik. Kadang Cikza beli yang instant sahaja hanya tambah air panas. Tapi nak jugak merasa buat air tangan sendiri. Memang rumit sedikit, sebab kena goreng kacang dulu sampai garing tapi jangan hangus pulak, lepas goreng nak kena buang kulit, memang remeh. Tak nak cerita banyak meh Cikza nak kongsi resepi sambal kacang.
Resepi Sambal Kacang Pedas Menyengat
Bahan A ( Dikisar )
- 2 ulas bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 2 batang serai
- 1/2 inch halia /lengkuas
- 20 tangkai cili kering
Bahan B
- 2 cawan kacang tanah
- 1/2 cawan air asam jawa
- 1/2 cawan santan pekat
- garam/gula secukup rasa
- minyak masak
Cara Penyediaan
- Goreng kacang terlebih dahulu sehingga garing dengan minyak yang sedikit, dan dibuang kulit. Kisar separuh lumat. Jangan goreng terlalu hangus sebab nanti akan menyebabkan kuah kacang jadi kehitaman
- Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang dikisar tadi sehingga garing dan naik bau.
- Masukkan kacang yang dikisar separuh lumat tadi kacau rata.
- Masukkan air asam jawa/santan, garam dan gula biarkan sehingga masak.
- Hidangkan bersama nasi impit sebagai pembuka selera.
Tip Dari Dapur Cikza
- Kacang jangan di goreng terlalu lama, kerana ia akan menyebabkan kuah menjadi gelap. Kacang juga perlu di buang kulitnya agar tekstur sambal menjadi penarik selera.
- Gula pasir boleh digantikan juga dengan gula perang.